KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer berbakat besar, Amylea Azizan memberikan pujian terhadap kesungguhan penyanyi bersuara emas, Noryn Aziz dalam menjayakan single terbarunya berjudul Kertas.
Amylea yang ditemui baru-baru ini berkata, komitmen penyanyi berkenaan yang memberikan terbaik ketika proses penghasilan lagu balada itu wajar diteladani dan dicontohi.
“Keputusan untuk memilih Noryn sebagai penyanyi lagu ini dibuat berdasarkan perbincangan dengan pihak Radius One Sdn. Bhd. Memang saya sejak awal pilih Noryn untuk membawakan lagu itu.
“Saya tak nafikan, memang ada pihak yang mempersoalkan kesesuaian penyanyi tersebut membawakan lagu jenis ini disebabkan kebiasaan Noryn membawakan lagu-lagu berentak pop dan jazz.
“Tapi saya yakin dengan kemampuan saya untuk mewujudkan kesesuaian nyanyiannya untuk lagu ini.
“Yang penting, Noryn telah memberikan yang terbaik dan bersungguh-sungguh menyanyikan lagu tersebut pada hala tuju yang diinginkan,” katanya ketika ditemui sempena program larian bersama Asics Malaysia, baru-baru ini.
Kertas yang dihasilkan Amylea, dan muzik oleh Bajai merupakan lagu tema bagi drama Khunsa terbitan Radius One Sdn. Bhd.
Pemilihan Noryn sebagai penyanyi untuk lagu tersebut menerima pelbagai reaksi pendengar yang rata-rata menyambut baik cara penyampaian penyanyi itu menerusi lagu Kertas.
Amylea dalam pada itu mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses menghasilkan lagu berdurasi 3 minit 44 saat itu.
Namun komposer berusia 37 tahun memaklumkan cukup berpuas hati dengan hasil yang dicapai selepas bertungkus lumus menghasilkannya.
“Prosesnya memang mencabar tapi sangat menyeronokkan.
“Bukan mudah untuk sesuaikan vokal Noryn dengan lagu ini tanpa menjejaskan keaslian dan gaya nyanyiannya,” kongsinya lagi.










