KUALA LUMPUR: Pengalaman ditipu agensi pencari bakat sebelum ini membuatkan Amanda Tan berhati-hati sebelum menerima sebarang kerja lakonan yang ditawarkan kepadanya.
Jelas Amanda, meskipun masih baru dalam dunia drama dan perfileman, dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak lagi diperdaya mana-mana pihak yang suka mengambil kesempatan.
“Saya pernah diperdaya sebuah agensi yang mempelawa saya hadir ke uji bakat sebuah filem yang diadakan di sebuah rumah di ibu kota.
“Tanpa diberitahu mengenai filem berkenaan, saya hadir bertemankan seorang rakan ke lokasi dinyatakan.
“Namun saya amat terkejut apabila filem itu sebenarnya sebuah filem berbahasa Tamil yang memerlukan pelakon berbangsa India.
“Saya rasa diperdaya, masa terbuang kerana hadir ke uji bakat yang bukan untuk saya.
“Waktu itu saya bergerak sendiri, tidak melantik pengurus kerana masih baru dalam industri,” katanya.

Pelakon filem Oppa itu turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir agensi pencari bakat yang bersikap tidak telus dengan merahsiakan maklumat tentang uji bakat atau tawaran lakonan yang diberikan kepada pelakon baru.
“Segelintir agensi tak membenarkan pelakon bertanya banyak soalan. Itu antara masalah yang sering saya hadap. Mereka tak bersikap telus, banyak berahsia.
“Sebagai pelakon saya ada hak untuk bertanya tentang perkara yang tak jelas agar saya tak lagi terjerat dengan penipuan.
“Tapi masalahnya nama akan busuk kalau pelakon itu, lebih-lebih lagi yang baru, bersuara,” jelasnya.
Meskipun berdepan beberapa pengalaman yang tidak menyenangkan, Amanda tidak pernah berfikir untuk meninggalkan bidang yang dicintainya itu.
Malah, dia lebih bersemangat dan mahu terus mengejar cita-cita menjadi pelakon berjaya yang dipendam sejak di bangku sekolah lagi.
“Pengalaman ini tidak pernah mematahkan semangat saya, malah lebih menguatkan.
“Selepas apa yang saya lalui, rugi sekiranya saya berhenti.
“Saya kena kerja lebih keras, hadir uji bakat, berkawan dengan orang industri dan hantar maklumat peribadi untuk tonjolkan diri,” jelasnya.











