PETALING JAYA: Hasrat kumpulan Alif Satar & The Locos untuk berkongsi pentas bersama penyanyi bertaraf legenda, Datuk Shake tercapai menerusi sebuah konsert yang akan dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini.
Alif, yang ditemui baru-baru ini memaklumkan, lebih mengujakan apabila konsert berkenaan bakal dipentaskan di Paris, Perancis.
“Lokasinya masih belum dimuktamadkan. Tapi apa yang boleh kami kongsikan, konsert tersebut akan dilaksanakan sekitar Oktober ini.
“Sepatutnya konsert itu dilaksanakan selepas kami tamatkan siri jelajah United Kingdom (UK) baru-baru ini. Namun atas sebab tertentu, ia terpaksa ditunda ke bulan Oktober.
“Apa pun kami berharap dapat bertemu peminat kami dan rakyat Malaysia di Paris nanti,” katanya pada majlis pelancaran lagu, Kumandang, di ibu negara baru-baru ini.
Mengulas berkenaan lagu tema berkenaan, Alif meluahkan rasa terharu apabila band itu diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu tema bagi sebuah jenama perhotelan gergasi antarabangsa, Marriott Bonvoy.
“Kami berbesar hati kerana menjadi band tempatan pertama yang dipilih untuk berkolaborasi dengan Marriott Bonvoy.
“Yang menariknya adalah apabila kami diterbangkan ke Bali, Indonesia selama tiga hari beberapa bulan yang lalu untuk merakam lagu tersebut dekat W Studio, yang sebelum pernah disinggahi penyanyi terkenal antaranya Datuk Sheila Majid dan Yuna,” ujarnya.
Berkongsi tentang konsert jelajah di UK baru-baru ini, Alif memaklumkan dia dan seluruh anggota band tersebut merasa bertuah kerana berpeluang menghiburkan komuniti Malaysia di negara tersebut.
“Ketika itu suasana Hari Raya Aidilfitri masih dapat dirasakan. Kami seronok kerana kehadiran kami sedikit sebanyak dapat mengubat rindu orang kita di sana terhadap Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Alif turut berkongsi tentang konsert band tersebut di Singapura yang akan berlangsung Julai ini.
“Selepas UK, kami ke Singapura. Dan selepas itu ke Paris pula. Ini adalah pengalaman baru untuk kami,” tambahnya.











