ALOR SETAR: Kedah tetap membuat persediaan terbaik bagi mengharungi musim 2024/2025, meskipun hanya beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama pasukan tempatan berbanding terbang ke Turkiye pada aksi pra musim, tahun lalu.
Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain berkata, langkah berkenaan memberi kelebihan tersendiri terutamanya kepada barisan pemain import yang baru pertama kali beraksi dalam Liga Malaysia.
“Memang tahun lepas kami banyak melakukan perlawanan persahabatan dengan pasukan antarabangsa dalam aksi pra musim. Namun itu tidak bermakna persediaan tahun ini tidak bagus kerana segalanya berjalan dengan agak baik.
“Kali ini kita dapat beraksi dalam beberapa perlawanan kompetitif bersama pasukan yang turut bersaing dalam Liga Super. Setidak-tidaknya memberi bayangan kepada pasukan mengenai pelbagai corak dan cara permainan di liga kita terutamanya kepada pemain-pemain import baru.
“Maka ini juga satu kelebihan sebenarnya untuk kita berbanding ke luar negara. Para pemain import dapat merasai suasana dan bayangan mengenai bentuk perlawanan yang bakal dihadapi mereka di sini,” katanya.
Sementara itu, Nafuzi berpuas hati dengan komitmen ditampilkan pasukan setakat ini walaupun hingga kini masih belum boleh menggambarkan wajah kesebelasan utama Sang Kenari.
“Kita ada beberapa pemain baharu dan disebabkan itu saya masih mencari-cari pendekatan berbeza untuk menemukan ramuan atau cara sesuai bagi diketengahkan bersama kualiti pasukan.
“Persiapan pasukan kini sudah berada di peringkat akhir dan kita bersedia menjelang aksi pertama 11 Mei ini. Terima kasih kepada semua pemain yang tetap beri komitmen walaupun kita pernah dilanda ‘ribut taufan’ sebelum ini dan terus memberikan yang terbaik hingga sekarang,” katanya. -UTUSAN










