PETALING JAYA: Akses terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini masih tidak seimbang berikutan struktur bayaran yang sama untuk semua menyebabkan golongan kaya lebih mudah mendapatkan perkhidmatan.
Pakar Perunding Kesihatan Awam, Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, sistem pembiayaan kesihatan berasaskan Kementerian Kesihatan dan wang sendiri sudah tidak lagi mampan.
Kata beliau, sistem tersebut tidak adil terutama bagi pesakit yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan diri sendiri dan ia perlu diubah memandangkan akses kepada Liputan Kesihatan Menyeluruh (UHC) merupakan hak asasi manusia.
“Contoh mudah, sekarang ini pesakit kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis di sesetengah tempat terpaksa menunggu sehingga lapan ke sembilan bulan untuk menyediakan ‘tapak’ dialisis yang boleh dilakukan di beberapa hospital kerajaan tertentu sahaja.
“Tetapi adakah ini standard tempoh menunggu yang wajar? Saya katakan tidak kerana pesakit boleh mati dahulu sebelum sempat menyediakan ‘tapak’ untuk dialisis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Lokman Hakim berkata, situasi berbeza dihadapi untuk golongan yang berkemampuan atau T20 kerana jika pesakit berwang, dia dengan cepat boleh menyediakan tapak di hospital swasta dan seterusnya membaiki kualiti hidup dengan dialisis.
“Inilah yang dikatakan ketidakserataan iaitu berlaku isu ekuiti dan UHC. Keadaan ini masih berlaku walaupun dengan nisbah seorang doktor kepada 412 pesakit,” katanya.
Pada masa ini, warganegara Malaysia yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan hanya perlu membayar RM1 untuk rawatan pesakit luar dan RM5 untuk rawatan pesakit luar pakar.
Menurut laman web KKM, rakyat yang menerima rawatan pesakit dalam di wad hospital Kelas Pertama dikenakan bayaran RM10 sehari manakala bagi wad kelas dua, RM5. Tiada caj dikenakan untuk rakyat Malaysia yang dimasukkan ke wad Kelas Ketiga.
Bagi perkhidmatan bersalin (kelahiran normal), warganegara dikenakan bayaran RM300, RM150 dan RM10 masing-masing untuk wad Kelas Pertama, Kedua dan Ketiga.
Dalam pada itu, Lokman Hakim yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) berkata, tranfsormasi sistem pembiayaan kesihatan perlu dilakukan segera.
Katanya, sebelum ini timbul syor untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan penjagaan kesihatan awam untuk golongan kaya dan mengikut kemampuan kewangan mereka.
“Sistem pembiayaan kesihatan sekarang melalui peruntukan bajet sudah tidak berupaya menampung keperluan semua ini sebab keupayaan kerajaan terhad. Kalau kerajaan naikkan bajet Kementerian Kesihatan dari empat peratus ke lima peratus, tambahan satu peratus tersebut mestilah diambil daripada peruntukan kementerian lain.
“Jika saiz ‘kek’ bajet kerajaan besar daripada hasil atau pinjaman mungkin tidak ada isu tetapi hakikatnya dengan hutang negara yang tinggi, ketirisan masih berlaku dan kecekapan kutipan cukai masih dipersoalkan, apakah kerajaan mampu membiayai keperluan ini dalam masa terdekat dan tempoh masa panjang sedang isu ekuiti akses makin meruncing? Saya rasa tidak,” katanya. – UTUSAN










