PETALING JAYA: Penyanyi, Aisha Retno, meluahkan rasa terharu dengan sambutan memberangsangkan peminat Indonesia sewaktu kemunculan sulungnya di pentas Java Jazz Festival, Sabtu lalu.
Pada persembahan yang berlangsung selama satu jam di Kemayoran, Jakarta, Aisha memukau penonton menerusi persembahan sembilan lagu termasuk yang dipopularkan penyanyi, Datuk Sheila Majid.
“Saya fikir mungkin tidak ramai yang akan menonton persembahan saya kerana pada waktu yang sama, Afgan dan Mahalini juga beraksi. Pada fikiran saya, mungkin penonton lebih berminat tengok artis mereka.
“Tapi ternyata tanggapan saya silap apabila ramai yang menonton persembahan saya. Sokongan mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyanyi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aisha satu-satunya penyanyi Malaysia yang diundang ke festival itu selepas Sheila yang pada beberapa tahun lalu sering membuat persembahan pada festival yang sama.
Anak penyanyi keroncong Indonesia, Jean Retno Aryani, itu juga mengakui terkilan tidak dapat bertemu peminatnya di sana disebabkan jadual yang padat.
“Saya pada keesokannya harinya terpaksa bergegas pulan ke Malaysia seawal empat pagi kerana perlu membuat persembahan untuk program The Hardest Singing Show..
“Saya tahu ramai menunggu kehadiran saya di sana dan festival ini adalah kesempatan mereka bertemu saya. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan jumpa mereka di masa akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Aisha juga memaklumkan telah menerima beberapa tawaran persembahan di Indonesia. Namun undangan itu terpaksa ditolak bagi membolehkan dia fokus kepada pertandingan dan konsert solonya yang berlangsung November ini di Zepp Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah sudah ada beberapa pihak yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama kerana festival itu memberi peluang kepada saya berhubung dengan pihak penganjur di sana.
“Namun ada juga persembahan yang terpaksa ditolak kerana ingin memberi fokus kepada pertandingan dan konsert.
“Walaupun dalam jadual yang sangat padat, saya perlukan persiapan yang maksima,” katanya.










