PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.
Dalam ucapan tersebut, baginda turut bertitah, keharmonian antara kaum sentiasa menjadi tunjang perpaduan negara.
“Selamat Hari Wesak diucapkan kepada semua penganut agama Buddha di negara ini,” titah baginda dalam hantaran melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hari Wesak merupakan hari perayaan bersifat keagamaan dalam agama Buddha yang akan diadakan tanpa mengira aliran Mahayana atau Theravada.
Perayaan ini bagi memperingati Siddharta Gautama Buddha iaitu tokoh dalam agama Buddha yang dilahirkan di Lumbini, Nepal, sekitar 563-483 SM.
Perkataan Wesak berasal daripada perkataan Pali “vesākho” dan dalam bahasa Sanskrit disebut sebagai “vaisākha”, iaitu merujuk kepada nama bulan dalam kalendar Hindu yang menandakan bulan kelima. – UTUSAN











