SHAH ALAM: AEON Bank (M) Bhd. hari ini melancarkan bank digital sekaligus menjadi bank digital Islam pertama di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, bank digital tersebut menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh syariah yang selamat, ringkas dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata, perkhidmatan ditawarkan merangkumi akaun simpanan, pelan simpanan persaraan, pelbagai pilihan pinjaman dan perkhidmatan pembayaran.
“Ini akan membolehkan kami menawarkan perkhidmatan kewangan kepada pelanggan kami secara menyeluruh termasuk di kawasan pedalaman.
“Tujuan perniagaan kami adalah untuk mendekatkan sistem kewangan kepada orang ramai dan membantu kami mencapai misi kami,” katanya pada Majlis Pelancaran Bank Digital Islamik AEON Bank di AEON Mall Seksyen 13 hari ini, yang turut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Johan Mahmood Merican di sini hari ini.
Raja Teh Maimunah berkata, dengan wujudnya bank digital tersebut, sistem perbankan digital Islam itu diharap dapat melakukan analisis kewangan secara terperinci dan mencapai rangkuman kewangan yang disasarkan untuk semua latar belakang pelanggan.
Katanya lagi, ujian akhir melibatkan 1,800 kakitangan bank sebelum pelancaran platform perbankan digital tersebut mencatatkan kejayaan pelaksanaan yang menggalakkan.
“Ujian tersebut telah dijalankan selama 12 minggu. Ia bertujuan mengenal pasti apa sahaja aspek pelaksanaan yang perlu diperbaiki.
“Kami mendapat banyak maklum balas yang baik, bukan sahaja daripada pekerja tetapi juga daripada keseluruhan kerangka sistem terbabit.
“Kami tidak tergesa-gesa dalam ujian dan kami juga membuat ujian awal sebelum ujian akhir tersebut, jadi kami tahu kaedah khusus untuk memastikan kestabilan platform perbankan sebelum ia dilancarkan hari ini ,” tambahnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sempena pelancaran pihaknya menawarkan perkhidmatan produk digital perbankan peribadi seperti Akaun Simpanan-i, Akaun ‘Saving Pots’dengan ciri pengoptimuman yang boleh disesuaikan dengan belanjawan pelanggan.
Tambahnya lagi, pengguna yang mengaktifkan akaun mereka akan dapat mengakses dengan segera AEON Bank x Visa Kad Debit-i maya mereka dan memohon Kad
Debit-i fizikal mereka. – UTUSAN







