NIBONG TEBAL : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latif dilaporkan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejak kelmarin.
Menurut jurucakap pejabat ADUN terbabit, langkah itu terpaksa diambil selepas Nor Zamri dikatakan mengalami masalah komplikasi pada bahagian perut.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, keadaan Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu ketika ini semakin stabil.
“YB (Yang Berhormat) bukan ditidurkan kerana kurang oksigen tetapi beliau telah diberikan ubat pelali bagi mengurangkan kesakitan dan untuk merehatkan (badan) beliau yang sedikit lemah.
“Alhamdulillah, hari ini (beliau) semakin pulih daripada sakit, namun, masih perlu banyak berehat. Sama-sama (kita) doakan semoga YB (Nor Zamri) cepat sembuh,” katanya di sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap yang lalu, Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) berjaya menewaskan calon PKR yang bertanding atas tiket PH iaitu Norhidayah Che Ros selepas memperoleh sebanyak 15,433 undian berbanding lawannya yang hanya mendapat 13,870 undian.-UTUSAN










