Adira kekal ratu OST - Utusan Malaysia

Adira kekal ratu OST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak ralat dengan jolokan Ratu Runut Bunyi atau Original Soundtrack (OST), Adira sebenarnya berterima kasih dan bersyukur kerana lagu-lagunya terpilih sebagai latar muzik sesebuah drama atau filem.

Naib juara Akademi Fantasia musim kelapan itu juga menganggap dirinya bertuah apabila lagunya kerap diputarkan baik di pawagam, televisyen (TV) atau radio selepas dipilih sebagai OST.

“Situasi itu umpama promosi percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian.

“Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di TV, ia memerlukan kos tinggi. Jadi, apabila sebuah lagu kerap dimainkan dalam filem atau drama rantaian, mudah bagi lagu itu melekat dalam jiwa penonton,” katanya.

Tidak terhenti di situ, Adira sekali lagi muncul dengan lagu baharu, Kasih yang menjadi runut bunyi bagi filem Memoir Seorang Guru.

Malah dia juga dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat selain berbesar hati diberi penghormatan menyanyikan lagu runut bunyi.

“Sebagai penyanyi, saya okay dalam menyanyikan sebarang lagu, asalkan melodi dan liriknya sesuai dengan suara. Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan lagu yang saya terima sedap didengar.

“Kepercayaan yang diberi komposer dan penulis lirik untuk merakamkan sesebuah lagu juga tidak akan diambil mudah. Saya akan pastikan beri komitmen penuh.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih atas peluang diberi. Bagi saya, sudah jadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman lagu,” katanya.

Single Kasih yang diterbitkan Nova Music adalah hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.

Filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada novel Azizi Abdullah menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama selain Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

Filem arahan Kyoll Hamzah yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 30 Mei depan ini diterbitkan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya