MABA jana untung menerusi pelaburan hartanah  

MABA jana untung menerusi pelaburan hartanah  

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock (tengah) ketika sidang akhbar selepas AGM badan induk persatuan bola keranjang di Wisma MABA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) boleh berdiri di kaki sendiri dengan menjana pendapatan tanpa mengharapkan bantuan kewangan selepas ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock selepas Wisma MABA di Jalan Hang Jebat akan dibangunkan dengan pembinaan pangsapuri dengan kerjasama Exsim. 

Kata Tian Hock, kerjasama dengan Exsim bakal memberi perolehan keuntungan kira-kira RM170 juta dan melalui pelaburan yang dijangka memberi pulangan  RM5 juta hingga RM7 juta setiap tahun. 

“Daripada kerjasama ini, kita akan dapat sekurang-kurangnya RM170 juta. Daripada itu, RM120 juta kita akan kontra dengan hartanah yang dibangunkan di sini. Salah satunya adalah 3,000 kaki persegi untuk dijadikan pejabat MABA. 

“Dengan adanya RM120 juta hartanah di sini, katakanlah MABA dapat pulangan dengan lima peratus, jadi kita jangka persatuan ini memperoleh RM5 hingga RM7 juta pulangan setiap tahun. 

“Dengan adanya jumlah keuntungan tersebut secara setiap tahun, MABA akan berdikari dari segi kewangan. 

“Jadi selepas itu, kita tak ada lagi masalah kewangan selain kita rasa ia juga akan menolong kesemua 18 ahli gabungan untuk jalankan aktiviti bola keranjang di peringkat akar umbi mereka,” kata Tian Hock dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MABA serta pemilihan Exco baharu bagi penggal 2024 hingga 2028. 

Tian Hock yang mengekalkan jawatan selaku presiden buat penggal kedua berturut-turut mengakui mereka akan mencari hartanah baharu untuk membangunkan stadium baharu tetapi menerusi kerjasama pihak luar yang berminat. 

“Kalau semua berjalan lancar,  kita bercadang mencari tanah baharu untuk membangunkan stadium baharu bola keranjang. Kalau boleh pembangunan stadium itu menerusi kerjasama syarikat korporat.

“Sementara kita menunggu pembangunan stadium baharu, buat masa ini kita akan menandatangani perjanjian sewa dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk sewa dewan MOM dan juga ruang pejabat di sana untuk dijadikan lokasi sementara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×