KUALA LUMPUR: Penemuan lapan tempat pembiakan nyamuk Aedes antara kesalahan yang didapati pada serbuan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pejabat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Bukit Naga, hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tapak pembangunan itu ditutup selama 14 hari atas kesalahan tersebut penutupan dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembuatan Penyakit 1975 selain dikenakan kompaun.
“Vektor Kementerian Kesihatan menemui lapan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Kompaun telah dikenakan berjumlah RM500 di semua tempat menjadikan RM4,000 secara keseluruhan.
“Selain itu, SWCorp juga melihat terdapat sampah yang bercampur seperti sampah makanan dan sampah pembinaan.
“Oleh itu, saya mengharapkan agar pihak pemaju yang membina bangunan, jambatan atau jalan di negara ini supaya sentiasa ingat bahawa mereka diawasi oleh CIDB,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di tapak bangunan yang diserbu.
Terdahulu, OPB yang bermula pukul 10 pagi itu melibatkan wakil agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kesihatan Negeri WPKL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) CIDB Ibu Pejabat, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah, serta CIDB Technologies.
Selain itu, Ahmad Maslan berkata, CIDB juga menemui bahan binaan yang tidak memiliki atau mencapai standard tertentu yang boleh menyebabkan bahaya kepada keselamatan pekerja serta bangunan.
“Pemeriksaan ini bertujuan bukan untuk mendera atau menyusahkan pemaju tetapi untuk mengingatkan bahawa mereka mempunyai standard yang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan pekerja dan bangunan yang dibina kukuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Norazman Mohd Rosli berkata, sebanyak 85 tapak pembinaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya didapati menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes ketika ini.
Menurutnya, penemuan tersebut hasil daripada 137 pemeriksaan yang telah dilakukan pihaknya sejak awal tahun sehingga 4 Mei lalu dan kebanyakan tapak pembinaan tersebut berdekatan dengan perumahan penduduk.
“Daripada jumlah pemeriksaan (137), secara puratanya daripada 10 tapak pembinaan yang kita periksa enam daripadanya positif (menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes).
“Pada operasi hari ini, kita mendapati terdapat lapan tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes iaitu enam dalam bangunan dan dua di rumah kongsi.
“Maksimum penutupan adalah selama 14 hari. Selepas itu kita akan minta pihak pemaju untuk membuat pembersihan dan memastikan semua tempat-tempat pembiakan telah dibuat aktiviti pencegahan nyamuk Aedes,” katanya. – UTUSAN










