PORT DICKSON: Seramai 39 individu termasuk enam wanita diberkas di sekitar daerah ini dalam Operasi Tapis Khas selama tiga hari bermula Isnin lalu hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 tahun hingga 55 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan penagihan di sekitar Lukut dan Telok Kemang.
Katanya, dalam operasi membabitkan 53 pemeriksaan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah berbahaya seperti syabu, air ketum dan daun ketum dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM 9,048.90.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan kesalahan orang dikehendaki di bawah ADB 1952,” katanya di sini, hari ini. – UTUSAN










