LUMUT: Lebih 3,000 peserta menyertai edisi sulung acara berbasikal RHB WCE Century Ride di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.
Acara anjuran Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama West Coast Expressway Sdn. Bhd. itu bermula di Plaza Tol Lekir WCE di sini dan menawarkan empat kategori jarak kayuhan iaitu sejauh 160 kilometer, 90km, 28 km dan 14 km di lebuhraya itu.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Perlumbaan itu merupakan acara berbasikal berstatus century ride pertama yang dianjurkan di lebuh raya tertutup dan diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Pengarah Pengurusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad berkata, acara itu merupakan komitmen RHB untuk memperkasakan rakyat melalui ‘Ride For Good’.
Menurutnya, kategori-kategori inklusif dan laluan berbasikal yang selamat di lebuhraya tertutup pada perlumbaan hari ini bertujuan memenuhi keperluan semua peserta dari segi kecergasan, umur dan jantina.
“Keyakinan peserta menyokong misi kami untuk mempromosikan gaya hidup lebih sihat dan memupuk hubungan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif West Coast Expressway Sdn. Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata, kejayaan penganjuran RHB WCE Century Ride 2024 menandakan satu pencapaian penting sejak pembukaan WCE pada tahun 2019, meliputi tiga seksyen di Perak dan satu di Selangor.
“Kami berharap dapat menganjurkan lebih banyak acara seperti ini pada masa akan datang bagi mempromosikan gaya hidup sihat serta merancakkan industri pelancongan, sekaligus mempamerkan keindahan pemandangan Lebuhraya WCE,” katanya.
Dalam pada itu, lebih daripada 830 peserta merasai pengalaman berkayuh dalam laluan century sejauh 160km termasuk menempuhi pendakian yang mencabar.
Acara itu juga mempromosikan pelancongan berbasikal di negeri Perak dan mempamerkan keindahan pemandangan sepanjang jajaran WCE. – UTUSAN










