20 naib canselor, rektor universiti awam sokong UiTM

20 naib canselor, rektor universiti awam sokong UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Na­ib Canselor/Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) yang terdiri daripada 20 Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malay­sia menzahirkan sokongan ter­hadap pendirian Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan isu yang dibangkitkan segelintir pihak berhubung kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM dengan melabel institusi pengajian tinggi itu sebagai ‘akademi aparteid’.

Menurut Pengerusinya, Profesor Datuk Dr. Ekhwan Toriman, pernyataan yang dibuat penulis itu jelas menampakkan kejahilan beliau terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak bumipu­tera di Malaysia.

Tegasnya, dakwaan ini turut mencerminkan kedangkalan ser­ta sifat berat sebelah penulis yang secara tidak langsung, hanya merujuk istilah bumipu­tera kepada kaum Melayu semata-mata.

“Sedangkan kaum bumiputera di negara ini meliputi seluruh ma­syarakat peribumi Malaysia, termasuklah “orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak” (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153: 163).

“Seperti mana undang-undang negara yang tidak sekali-kali diwartakan sebagai bahan gurauan, begitu jugalah Perlembagaan Persekutuan yang tidak dibentuk untuk menjadi bahan sanggahan.

“Seluruh ahli JKNCR UA berasa terpanggil untuk melahirkan pandangan serta teguran mendidik terhadap kenyataan yang tidak berasas ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, pihak JKNCR UA turut menyokong kenya­taan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Ka­dir yang menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat perkauman.

Ini kerana ia boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Sebaliknya, pihak jawatan­kuasa itu menyeru agar semua pihak harus bersatu hati dan berpadu tenaga dalam usaha mengekalkan kelestarian dan kesejahteraan negara tercinta.

Pada masa yang sama, jelas Ekhwan, para penulis di luar sana diseru agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita demi keamanan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN