KLANG: Seramai 20 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak lima tahun lalu.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh ialah N. Nithiyan, 39; S. Logan, 32; P. Parthipan, 32; M. Keshava Nair, 30; A. Balamurugan, 40; V.S. Wilbert, 46; M. Ramakrishnan, 45; R. E. Mohan, 34; M. Thanasekaran, 44, dan Edward Liew, 49.
Turut didakwa, S. Manoraj, 28; M. Amaran, 30; S. Hemanathan, 31; K. Thana Seelan; 38; K. Ravishankar, 43; Muhammad Razi Abdullah, 51; G. Deeneskumar, 29; K. Venaigaraj, 32; A. Kogilan, 26, dan M. Tineshkumar, 26.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng TR dekat sebuah restoran di Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor antara November 2019 hingga 2 Mei lalu.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohon prosiding kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dicadangkan dalam tempoh sebulan. Seramai 14 daripada tertuduh masing-masing antaranya diwakili peguam Ayasamy Velu; S. Vinesh, Revin Kumar dan Naizatul Zamrina Karizaman.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Jun depan.
Terdahulu, kesemua tertuduh yang berpakaian biasa tiba di mahkamah itu dengan menaiki trak polis dan dikawal ketat sepasukan anggota bertugas, kira-kira pukul 9 pagi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan perkarangan mahkamah yang juga bekas bangunan rumah rehat Residen British itu dipenuhi puluhan ahli keluarga dan kenalan tertuduh.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pihaknya memburu 10 individu disyaki terlibat dengan kongsi gelap dikenali sebagai Geng TR.
Polis menahan 21 individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan kongsi gelap menerusi Op Lima yang dijalankan pada 3 Mei lalu di sekitar Selangor, Johor dan Pahang.
Siasatan mendapati individu itu menjadi ahli kumpulan kongsi gelap dan aktif menjalankan pelbagai kegiatan jenayah seperti pembunuhan, pemerasan, pengedaran dadah dan khianat dengan api sejak 2019. – UTUSAN










