1MDB saman pegawai Petrosaudi tuntut AS$1.83b

1MDB saman pegawai Petrosaudi tuntut AS$1.83b

1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menuntut Pengarah Eksekutif PetroSaudi International Ltd. (PSI), Patrick Mahoney untuk membayar semula syarikat tersebut AS$1.83 bilion kerana didakwa telah membantu beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyeleweng dana 1MDB.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 7 Mei lalu ialah sebuah firma guaman, White & Case LLP (White & Case) yang didaftarkan di England & Wales.

Menurut pernyataan tuntutan yang diperoleh media, 1MDB mendakwa Mahoney secara tidak jujur telah membantu Najib dan beberapa individu lain seperti Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah PSI, Tarek Obaid.

“Patrick Mahony secara tidak jujur membantu Najib Razak dan Casey Tang dalam kemungkiran kewajipan-kewajipan fidusiari dan kepecahan amanah masing-masing. Patrick Mahony memasuki dalam skema untuk menipu jumlah besar wang daripada 1MDB bersama-sama dengan antara lainnya, Jho Low, Najib Razak dan Tarek Obaid.

“Pada semua masa yang material, Patrick Mahony mengetahui bahawa usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dirancang untuk menyeleweng wang daripada 1MDB kerana dia mencipta dan mengambil bahagian dalam rancangan untuk menipu jumlah besar wang daripada 1MDB bersama-sama dengan Jho Low, Najib Razak dan Tarik Obaid,” menurut penyataan tersebut.

Selain itu, White & Case pula didakwa telah menyediakan perjanjian pembelian saham dan pinjaman atas arahan Mahoney untuk menipu 1MDB walaupun mengetahui bahawa perkara itu adalah palsu.

Pada perbicaraan jenyah sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa sejumlah AS$700 juta daripada AS$1 bilion wang pembiayaan syarikat usahasama yang dimeterai melalui perjanjian Murabaha antara syarikat 1MDB dengan PetroSaudi International LTD disalurkan ke akaun syarikat Good Star milik Jho Low.

Oleh itu, 1MDB antara lain memohon satu perintah mahkamah agar Mahoney membayar balik AS$1.83 bilion kepada syarikat itu atau satu jumlah yang dianggap sesuai. Turut dimohon ialah faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Mahony dan Obaid sedang dibicarakan Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland atas pertuduhan terlibat dalam penyelewengan besar-besaran yang didalangi oleh Jho Low.

Obaid ialah warganegara Switzerland-Arab Saudi, manakala Mahony memiliki kewarganegaraan Switzerland-British.

Mengikut pendakwaan asal, kedua-dua tertuduh didakwa dengan tujuan memperkaya diri mereka sendiri dan orang lain, menyalahgunakan sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion (RM8.5 bilion) yang dipindahkan oleh 1MDB dalam usaha sama dengan syarikat carigali Arab Saudi dan pengeluaran minyak itu, dan kemudian mengubah wang berkenaan.

Tuduhan itu meliputi tempoh sekurang-kurangnya dari 2009 hingga 2015 dan kesalahan penipuan atas dasar komersial, salah urus jenayah serta pengubahan wang haram yang serius.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×