HULU SELANGOR: Sebanyak 18.05 peratus daripada 39,362 pengundi dilaporkan sudah mengundi setakat pukul 10 pagi di semua 18 pusat pengundian menerusi 74 saluran dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.
Semua pusat mengundi mula dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang kecuali pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pertak yang dibuka selama 6 jam sehingga pukul 2 petang.
PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.
Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak semalam menyeru pengundi membuat persediaan awal sebelum keluar mengundi dengan menentukan dokumen yang perlu dibawa iaitu MyKad selain membuat semakan di MySPRSemak sebelum menuju pusat mengundi.
Sebanyak 97 peratus atau 769 daripada 863 pengundi awal yang terdiri dalam kalangan pasukan polis dan tentera melaksanakan tanggungjawab mereka pada 7 Mei lalu.
Dua pusat pengundian awal iaitu Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu menerima kira-kira 746 pengundi awal berdaftar.
SPR dalam kenyataannya ketika itu berkata, daripada jumlah tersebut 94 lagi adalah pengundi pos. – UTUSAN










