PETALING JAYA: Kadar Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) sebanyak RM100 sebulan kepada lebih 38,000 jururawat yang memiliki kelayakan pos basik perlu dinaikkan supaya berbaloi dengan bebanan tugasan selain mengelak lebih ramai dalam kalangan mereka berhenti kerja.
Kadar bayaran insentif itu yang tidak pernah dinaikkan sejak 17 tahun lalu adalah bayaran kepada anggota paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) yang memiliki sijil pos basik dan diploma lanjutan dalam bidang diluluskan daripada Institusi Latihan KKM (ILKKM).
Berdasarkan pemberitahuan pertanyaan bukan lisan di Dewan Negara yang dikeluarkan pada 4 April lalu, seramai 352 daripada 38,921 jururawat yang memiliki kelayakan pos basik meletak jawatan dalam tempoh lima tahun sejak 2019.
Jumlah tertinggi adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 118 jururawat meletak jawatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU), Saaidah Athman berkata, persatuan itu masih menunggu jawapan kerajaan berhubung kenaikan kadar bayaran tersebut.
“Sebenarnya kami sudah menghantar kertas kerja berkaitan isu ini sejak 2018. Namun, masih tiada jawapan daripada mana-mana pihak walaupun dimaklumkan kerajaan sekarang sedang meneliti perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Kerajaan meluluskan BIPB pada kadar RM100 setiap bulan kepada semua anggota paramedik daripada KKM yang memiliki sijil pos basik dalam satu daripada 26 bidang penjagaan kritikal dan pengkhususan kritikal sejak 2007.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, secara amnya ramai jururawat keluar bekerja di luar negara kerana jumlah bayaran tambahan yang lebih menarik.
“Kami tidak tahu sebab sebenar mengapa ramai jururawat letak jawatan tahun lepas tetapi boleh menjadi banyak sebab.
“Negara luar seperti Singapura, Australia dan negara-negara di Asia Barat yang mengambil jururawat dari Malaysia ini mempunyai mata wang yang lebih kukuh (kadar pertukaran).
“Sesetengah jururawat peroleh pendapatan sehingga tiga kali ganda di luar negara,” ujarnya. – UTUSAN










