150 tan harumanis Kedah dipasarkan - Utusan Malaysia

150 tan harumanis Kedah dipasarkan

DZOWAHIR Ab Ghani (tiga kiri) menunjukkan mempelam harumanis pada Majlis Perasmian Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Mempelam Sala, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kerajaan negeri yakin usaha mempopularkan harumanis Kedah yang dilakukan sejak 2022 membuahkan hasil memandangkan sambutan menggalakkan daripada peminat buah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, setakat ini Kedah berjaya mengeluarkan lebih 150 tan mangga harumanis untuk pasaran seluruh negara dengan nilai jualan melebihi RM5 juta. 

“Pengeluaran itu membabitkan 125 pengusaha di Kedah yang berkeluasan ladang sebanyak 100 hektar. Berdasarkan sasaran pada 2025 nanti, kita mampu mencapai hasil sebanyak 600 tan bagi menampung permintaan yang tinggi seluruh negara.

“Harumanis ini sebenarnya berasal dari Kedah, kita ada sejak 1971 tapi harumanis dikomersialkan di Perlis. Kita nak mempromosikan mempelam harumanis ini supaya lebih hebat daripada tempat lain,” katanya pada Majlis Perasmian Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Mempelam Sala di sini hari ini.

Tambah Dzowahir, kerajaan negeri juga menggalakkan petani memanfaatkan permintaan tinggi terhadap harumanis dengan menceburi tanaman berkenaan.

Katanya, Kedah memiliki kelebihan dalam keluaran buah mangga berikutan pusat teknologi berkenaan mempunyai 111 varieti mangga dari serata dunia dan sering dikunjungi oleh para penyelidik dari seluruh negara. 

“Mereka yang berminat boleh menghubungi terus Jabatan Pertanian negeri untuk mendapatkan bekalan anak pokok harumanis, input baja selain sokongan teknikal dan sokongan bimbingan.

“Di pusat ini  banyak ilmu yang boleh diperoleh, jadi kita ingin melihat lebih ramai petani menceburi tanaman harumanis yang pasti memberi pulangan yang lumayan, ketika ini Harumanis D Aman dijual dengan harga antara RM35 hingga RM40 mengikut gred,” katanya.

Menyentuh tentang fiesta tersebut, katanya, acara tersebut meraih sambutan di luar jangkaan setelah mencatatkan jualan sehingga RM50,000 pada hari pertama.

“Sasaran kita hanya RM100,000 hingga RM150,000 untuk enam hari acara berlangsung tetapi pada hari pertama ini kita sudah mencatatkan jualan lebih RM50,000 ini membuktikan bahawa orang Kedah memang menyukai mempelam,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN