MEKAH: Hampir 13,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Ketua Rombongan Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,380 jemaah berada di Madinah manakala 7,306 lagi di Mekah.
Setakat ini katanya, semua jemaah haji berada dalam keadaan baik dan mengikut pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Islam kelima itu sebagaimana dirancang Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).
“Operasi haji yang bermula 9 Mei lalu berjalan lancar sama ada di Malaysia dan Arab Saudi. Setakat ini 43 daripada 100 penerbangan telah berlepas.
“Hanya berbaki empat penerbangan lagi akan ke Madinah dan selebihnya ke Mekah,” katanya kepada media, semalam.
Tambahnya, sebanyak 53 penerbangan lagi akan ke Jeddah dan mula tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz bermula semalam.
Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata, cadangan kerajaan mewujudkan terminal khas jemaah haji dan umrah di ibu negara disifatkan sebagai kesinambungan kepada kemudahan yang diperoleh oleh jemaah haji Malaysia sebelum ini.
“Kita sambut baik kerana ia adalah kesinambungan terhadap kemudahan yang telah dinikmati oleh jemaah haji Malaysia sejak 2017 sebagaimana projek Makkah Route apabila jemaah haji kita dapat melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi bermula di Malaysia lagi,” katanya. – UTUSAN










