PETALING JAYA: Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dijadualkan bermula Jun ini melibatkan sebanyak 1,000 syarikat sebagai projek rintis.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan Gaji Progresif adalah usaha kerajaan bagi memastikan pendapatan rakyat meningkat seari dengan peningkatan produktiviti selain melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, bagi projek rintis tersebut, penyertaan dibuka kepada lima sektor iaitu pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, komunikasi maklumat serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.
“Pemilihan syarikat bagi projek rintis imelalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor serta kesaksamaan.
“Penilaian projek rintis akan dilaksanakan pada September 2024 untuk memastikan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh dilaksanakan kepada semua majikan dan ekonomi,” katanya dalam ciapan di aplikasi X hari ini.
Kertas Putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen 30 November lalu, antara lain menjadi strategi kerajaan meningkatkan gaji penengah pekerja, sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja (CE) dalam tempoh berbaki RMK-12 serta 10 tahun akan datang.
Dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan serius menggubal Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.
Perdana Menteri berkata, usaha itu penting kerana ramai golongan muda dan graduan sering bertanya mengenai nasib mereka berhubung perkara berkenaan.
Rafizi berkata, majikan dibenarkan menuntut insentif tunai daripada kerajaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.
“Syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja peringkat permulaan dan maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan.
“Setiap pekerja yang berdaftar di bawah Dasar Gaji Progresif perlu menjalani kursus/latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama tiga hari (21 jam),” katanya.
Majikan yang ingin mengetahui maklumat lanjut termasuk garis panduan penuh pelaksanaan dan latihan boleh didapati di laman web gajiprogresif.gov.my. – UTUSAN










