PENYANYI hebat bersuara lantang, Ziana Zain kekal istiqamah untuk tidak berkongsi segala hal ehwal peribadi keluarga terutama anak-anak di media sosial mahu pun media arus perdana.
Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah itu, ruang lingkup privasi keluarganya biarlah dalam lingkungan dirinya yang lebih selesa bercerita tentang perjalanan kerjaya seni yang menjulang namanya lebih dua dekad.
“Bagi Ziana, biarlah saya dengan cara saya. Orang mungkin tidak tahu apa yang saya lakukan, saya bukan jenis suka berkongsi segalanya, itu bukan saya.
“Saya ada kerja tetapi bukan semua saya pamerkan. Saya seorang yang menjaga privasi, perkara yang private adalah private, kalau boleh saya tak hendak tunjuk anak-anak saya untuk menjaga privasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan persembahan sempena Majlis Makan Malam Amal Alumni Bersama Prominent Industri 2024 di Hotel Concorde di sini malam tadi.
Ziana yang masih kekal bertenaga semasa mengalunkan lagu bernada tinggi berkata, biarlah peminat mengenali dirinya daripada hasil kerja seni nyanyian dan lakonan bukan tentang hal ehwal peribadi.
Mengulas tentang konsert yang bakal diadakan pada 25 Mei depan di Mega Star Arena Sungai Wang Plaza, Ziana berkata, tiket masih berbaki 10 peratus dan beliau berharap peminat segera mendapatkannya menerusi tempahan secara dalam talian.
“Pada saat ini saya sedang berlatih dan menghafal lagu-lagu yang sudah lama tidak dinyanyikan. Stamina dan kesihatan perlu dijaga (untuk konsert tersebut).
“Alhamdullillah tiket konsert lagi sikit untuk habis terjual. Sekarang memang ramai artis buat konsert terutama bulan Mei ini, bila sudah terjual 90 peratus pun saya sudah berasa amat bersyukur,” katanya.
Jelasnya lagi, pada konsert yang dianjurkan oleh Anuar Zain Network dan Altus Prohouse itu, sebanyak 20 buah lagu yang terdiri daripada lagu popular beliau sejak mula aktif sebagai penyanyi bakal dipersembahkan.
Tambahnya lagi, beliau memilih untuk mengadakan konsert solo selepas 20 tahun berdasarkan kepercayaan dirinya kepada siapa yang menjadi penganjur konsert.
“Ramai yang bertanya mengapa saya mengambil keputusan untuk mengadakan konsert solo. Saya mengatakan kali ini saya kembali menganjurkan konsert solo kerana ia melibatkan penganjur-penganjur yang kita boleh percayai dan kita tahu hasil kerja mereka macam mana.
“Saya teruja untuk mengadakan konsert solo setelah melihat penyanyi senior seperti Ella dan Datuk Sheila Majid melakukan perkara yang sama dan apa salahnya saya juga mencuba.
“Saya akan bermula dengan 20 lagu (untuk konsert 25 Mei ini)dan jika ada rezeki lebih untuk konsert akan datang saya akan tambah lagu lagi. Kesemua lagu tidak termasuk lagu secara acapella sama juga (jumlahnya),” ujarnya.










