HULU TERENGGANU: Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) di Kampung Lerek, dekat sini tabah dan reda melalui kehidupan bersendirian dengan hanya bertemankan kerusi roda.
Fatimah Junoh, 73, yang alami kecacatan jari sejak lahir serta masalah sakit lutut sejak hampir lima tahun lalu sehingga sukar untuk berdiri tetap bersyukur kerana masih ramai yang prihatin terhadap dirinya.
Menurutnya yang turut menghidap darah tinggi serta kencing manis, sejak kehilangan suami tercinta hampir 20 tahun lalu akibat angin ahmar, dia menumpang kasih dengan anak saudara serta anak-anak tirinya.
Katanya, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini, anak saudara dan anak-anak tirinya ada berkunjung di rumahnya.
“Pada usia 49 tahun, makcik bertemu jodoh dengan seorang bapa tunggal lapan anak. Lima tahun berkahwin, suami meninggal. Kami tidak dikurniakan anak.
“Sekarang ini, makcik bergantung hampir sepenuhnya dengan kerusi roda kerana sakit lutut. Buat masa ini, masih mampu uruskan diri walaupun sukar,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Tambah Fatimah, jiran tetangga juga tidak ketinggalan sering menolongnya termasuk menghantar makanan.
Selain itu, katanya, dia juga merupakan anak kedua daripada tiga beradik, namun abang sulungnya menetap di Kerteh, Kemaman dan adik perempuan juga tinggal di Kampung Lerek.
“Bagaimanapun abang dan adik saya juga tidak dapat berjalan kerana mengalami masalah kesihatan,” ujarnya.
Selain itu, Fatimah memberitahu, dia terharu apabila menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan kerana dapat meringankan beban hidupnya. – UTUSAN










