HULU SELANGOR: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor yakin undi masyarakat Orang Asli di Kuala Kubu Baharu akan berpihak kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada 11 Mei ini.
Ramli berkata, undi Orang Asli sentiasa akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, menurut beliau, undi daripada masyarakat tersebut akan memihak kepada PH di dalam PRK ini.
“Mengikut sejarah (dan) data, pengundi Orang Asli dengan BN ni berpisah tiada. Jadi di Kuala Kubu Baharu, saya nak masyarakat saya iaitu 1,279 itu bagi kepada calon Kerajaan Perpaduan (Sock Tao) untuk mewakili kawasan di sini.
“Saya percaya orang saya tidak pernah gagal melaksanakan apa yang dicaturkan oleh kepemimpinan Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Orang Asli di Kampung Tun Razak, di sini.
Turut hadir sama di dalam program tersebut adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ong Chun Wei.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, Kerajaan Perpaduan sudah mewujudkan kerangka baharu bagi kepentingan dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung
“Kena ingat Konvensyen Masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia, di dalam itu telah dirumuskan 10 dasar-dasar baharu yang sekarang dalam proses melaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Saya tidak dapat beri maklumat terperinci tetapi saya boleh cerita yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan iaitu antaranya telah mengubah satu dasar yang pragmatik dan positif bagi membangunkan masyarakat Orang Asli.
“Iaitu antaranya pembangunan minda, dengan pendidikan dan pengetahuan ia dapat menarik keluar dari kepungan miskin tegar seperti Orang Asli. Selain itu, infrastruktur terutama perkampungan-perkampungan yang berada di pendalaman,” jelasnya. –UTUSAN










