SHAH ALAM: UMNO Selangor mengembalikan semula tawaran 75 daripada 373 jawatan ketua kampung atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor kepada kerajaan negeri.
Parti itu sebaliknya akan memenuhi lantikan jawatan Pengerusi Komuniti Desa Madani yang akan diwujudkan di setiap kampung di seluruh negeri di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata, senarai calon untuk dilantik ke jawatan tersebut juga sudah diserahkan kepada beliau melalui ketua-ketua bahagian dan akan diserahkan watikah pelantikan selepas raya.
“Kita bersetuju di peringkat Selangor untuk menamakan…semua bahagian-bahagian saya sudah minta untuk menamakan calon-calon Pengerus Komuniti Desa Madani di peringkat kampung-kampung.
“Saya sudah terima dan diangkat kepada kementerian, kelulusannya pun kita sudah dapat, tinggal lagi selepas raya saya akan adakan pertemuan dengan kesemua pengerusi dan juga setiausaha yang berjumlah 746 orang untuk saya serahkan watikah mereka disaksikan oleh semua ketua-ketua bahagian yang tadi juga saya sudah bentang dalam mesyuarat perhubungan (Sabtu lalu),” katanya ketika ditemui.
Utusan Malaysia sebelum ini dalam analisisnya melaporkan Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah mendedahkan UMNO ditawarkan sebanyak 75 jawatan Pengerusi MPKK.
Formula tersebut diguna berdasarkan jumlah kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dan Dusun Tua walaupun parti itu menegaskan untuk terlibat dalam pemilihan pengerusi MPKK selepas mengembalikan semula kuota lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN










