KUALA NERUS: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihatkan MCA dan MIC supaya tidak terburu-buru membuat keputusan memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya kerusi itu tidak ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, sebaliknya kepimpinan kedua-dua parti perlu duduk semeja bersama komponen Barisan Nasional (BN) lain bagi membuat ketetapan berhubung PRK tersebut.
“Biar empat parti dalam BN bermesyuarat dahulu, saya percaya terhadap kebijaksanaan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan isu ini.
“Dalam gabungan besar Kerajaan Perpaduan memang berat untuk puaskan semua parti namun akhirnya kita perlu akur apabila keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini, hari ini.
Bung Moktar menambah, beliau percaya Ahmad Zahid akan mencari jalan tengah terbaik memandangkan BN turut menganggotai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada kelmarin memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
MIC sebelum ini turut membuat keputusan sama.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu depan sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini. – UTUSAN










