PETALING JAYA: Pemimpin dan ahli UMNO dingatkan supaya tidak leka walaupun berada dalam kerajaan ketika ini sehingga mengabaikan agenda utama dalam memastikan negara dan kesejahteraan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelekaan merebut ghanimah atau harta rampasan perang perlu dihindari dalam memastikan parti berada di landasan yang betul terutama sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.
“Pesan saya jangan bertelagah, banyakkan bermuhasabah dan berunding dengan penuh hikmah.
“Hargai nikmat berkerajaan yang Allah SWT berikan dan jangan leka berebut ‘ghanimah’ sehingga kita lupa agenda utama adalah memastikan kestabilan, supaya negara makin sejahtera dan rakyat beroleh kemakmuran yang melimpah ruah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen pimpinan dan ahli akar umbi perlu diperkukuh bagi memastikan perpaduan dan memperkasa kesatuan dalaman parti.
“Memandangkan kita bakal menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu berikutan pemergian mendiang Lee Kee Hiong, fokus dan tekad kita kini adalah untuk terus memastikan kemenangan siapa jua calon Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan nanti,” katanya. – UTUSAN










