KULIM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengambil tindakan terhadap tiga buah premis di kawasan perindustrian dalam daerah ini yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu merangkumi tiga notis arahan, sejumlah kompaun kerana gagal melabelkan buangan terjadual dan tiga penahanan operasi kelengkapan.
Menurutnya, dua kertas siasatan turut dibuka untuk tindakan mahkamah di bawah Seksyen 16(1) yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
“Malah denda tambahan RM1,000 turut boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan dilakukan. Untuk kesalahan Seksyen 18(1) memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan denda tambahan RM1,000 jika sabit kesalahan.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pula, penalti adalah penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum RM 500,000,” katanya selepas mengetuai Op Gempur JAS Kedah di sini, semalam.
Operasi melibatkan tiga pasukan dengan kekuatan anggota seramai 28 orang merangkumi pasukan penguatkuasa negeri serta JAS Cawangan Kulim dan JAS Cawangan Sungai Petani.
Sharifah Zakiah berkata, sebanyak 34 buah premis industri terletak di Kawasan Perindustrian Padang Meha, di sini dengan tujuh daripadanya adalah Premis Yang Ditetapkan – Buangan Terjadual.
“Premis-premis ini dilesenkan di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Kemudahan Pengolahan dan Pelupusan Buangan Terjadual) 1989 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang memerlukan premis dilesenkan oleh JAS Negeri Kedah.
“Lesen ini perlu diperbaharui setiap tahun. Hanya premis yang patuh sahaja dipertimbangkan untuk pembaharuan lesen,” ujarnya.
Tambah beliau, pemerolehan semula buangan terjadual adalah aspek penting dalam menyokong amalan kitar semula yang berkesan yang melibatkan pengumpulan, pemulihan dan pemprosesan semula bahan-bahan yang boleh digunakan kembali daripada buangan.
“Dengan melaksanakan langkah ini, ia dapat mengurangkan jumlah bahan buangan yang berakhir di tapak pembuangan akhir dan mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar. Konsep urban mining merupakan konsep yang digalakkan untuk menyelamatkan alam sekitar dan menjimatkan sumber,” katanya. -UTUSAN











