Terengganu catat suhu 35 hingga 36 darjah Celsius esok, Khamis - Utusan Malaysia

Terengganu catat suhu 35 hingga 36 darjah Celsius esok, Khamis

SEORANG penduduk menjemur keropok keping berikutan cuaca panas di Kampung Surau Haji Yaakob, Kedai Buluh, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Umat Islam di Terengganu dijangka menyambut Aidilfitri dalam suhu maksimum sekitar 35 hingga 36 darjah Celcius, berkurangan berbanding 36 hingga 37 darjah Celcius di beberapa tempat pada minggu lalu.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, pada sebelah pagi esok, hujan sederhana lebat dijangka melanda kebanyakan tempat di Terengganu.

Menurutnya, cuaca kembali cerah pada sebelah petang hingga ke malam pada esok.

“Pada hari Khamis pula, cuaca juga dijangka mendung di kebanyakan tempat di Terengganu dan kembali cerah pada petang hingga malam.

“Secara keseluruhannya, suhu maksimum dijangka akan mencecah 35 darjah Celcius namun tidak akan melebihi 37 darjah Celcius pada hari-hari terawal Aidilfitri kali ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ketika ini, terdapat tiga lokasi yang merekodkan suhu panas kategori berjaga-jaga iaitu Felda Tenang di Besut, Felda Belara di Kuala Terengganu dan kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, daerah Dungun.

Ketiga-tiga kawasan itu merekodkan bacaan suhu yang tinggi antara 35 darjah Celcius hingga 37 darjah Celcius dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Felda Belara di Kuala Terengganu merekodkan suhu tertinggi semalam iaitu 36.1 darjah Celcius.

“Kawasan Ketengah pula merekodkan suhu kedua tertinggi iaitu 36 darjah Celcius diikuti Felda Tenang (35.8 darjah Celcius).

“Walaupun ramalan cuaca pada Rabu dan Khamis ini dijangka tidak begitu panas berbanding hari-hari sebelumnya, orang ramai tetap disarankan mengambil langkah pencegahan demi tahap kesihatan yang optimum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya