Tangguh projek LRT, kereta kabel sehingga ada pelan tempatan

Tangguh projek LRT, kereta kabel sehingga ada pelan tempatan

R. MEENAKSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri menangguhkan semua kelulusan bagi mana-mana projek mega termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan kereta kabel Bukit Bendera sehingga pelan tempatan bagi kawasan pulau disediakan.

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, ini kerana, walaupun Pelan Struktur Pulau Pinang 2030 telah disediakan dan rujukan kepada LRT serta kereta kabel terkandung di dalamnya, namun, tiada butiran lanjut dari segi pengezonan terperinci kawasan projek berkenaan.

“Setakat ini, bagi pembangunan di Bukit Bendera, terdapat Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera yang menetapkan butiran mengenai pengezonan kawasan dan perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan di situ.

“Bagaimanapun, akan ada kawasan di luar Rancangan Kawasan Khas tersebut, terutamanya di stesen bawah di kaki bukit yang melibatkan kawasan di Taman Botani Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya yang memerlukan pertimbangan dan perancangan yang sewajarnya,” katanya di sini, hari ini.

Projek pembinaan LRT Laluan Mutiara kini diambil alih Kerajaan Pusat manakala projek kereta kabel Bukit Bendera pula telah diserahkan kepada syarikat Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya sebelum dibenarkan beroperasi.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, berkaitan projek LRT, sebaik sahaja penjajaran dimuktamadkan, ia akan melibatkan kesan sosial dan alam sekitar yang besar di kawasan kejiranan terdekat sepanjang jajaran.

“Ia (projek LRT) memerlukan perincian dari segi pelan pengezonan di kawasan-kawasan yang berkenaan.

“Kami kesal kerana sejak beberapa dekad ini, Pulau Pinang masih belum mempunyai pelan tempatan bagi bahagian pulau untuk mengawal perancangan secara terperinci dan pengezonan kawasan.

“Apa yang kerajaan negeri Pulau Pulau dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah lakukan setakat ini adalah meluluskan pelaksanaan merancang tanpa akauntabiliti dan ketelusan yang betul,” katanya.

Tambah Meenakshi, tanpa pelan tempatan yang memerlukan ketelusan dan penyertaan orang ramai dalam perancangan terperinci, kerajaan negeri Pulau Pinang dan MBPP akan bertindak tanpa sebarang akauntabiliti.

“Oleh itu, SAM menggesa pihak berkuasa negeri Pulau Pinang untuk mematuhi undang-undang dan berhenti membuat keputusan berhubung projek-projek ini sehingga pelan tempatan yang sewajarnya disediakan.

“Ia perlu dilakukan supaya perancangan pembangunan dilakukan dengan betul serta dilaksanakan dengan akauntabiliti dan ketelusan yang sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN