PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menyegerakan Akta 50 berhubung Program Parallel Pathway ekoran masalah kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan yang kian mendesak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya berhasrat menyegerakan pindaan itu selewat-lewatnya pada sidang Parlimen pada Jun ini bagi penguatkuasaan secepat mungkin.
Katanya, langkah itu bertujuan menyelesaikan program tersebut dan akan dijadikan berhak didaftarkan sebagai pakar perubatan di bawah Akta 50.
“Sementara itu, latihan kepakaran melalui program sarjana dalam negara terus diperkasa agar program pembangunan kapasiti tempatan kian unggul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberikan sepenuh kerjasama demi kepentingan seluruh pemegang taruh, terutama pelatih Program Parallel Pathway dan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.
“Kementerian Kesihatan menjamin kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat terus ditingkatkan di bawah gagasan Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu, Dzulkefly memaklumkan beliau mengadakan perbincangan bersama Duta Besar Ireland ke Malaysia, Orla Tunney, Duta Besar Ireland ke Malaysia dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, David Wallace.
Katanya, perbincangan itu berkenaan persetujuan bersama adalah agar kerjasama yang sedia terjalin antara Kementerian Kesihatan dan institusi-institusi yang terlibat akan diteruskan dan diperkukuh. – UTUSAN










