IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok Antiaris toxicaria atau pokok Ipoh dan turut berkenan menyaksikan penyerahan simbolik anak pokok dan Sijil Pengurusan Hutan kepada kerajaan negeri Perak.
Dalam pada itu, Saarani berkata, sehingga 31 Mac lalu keluasan keseluruhan Hutan Simpanan Kekal ialah 988,826.98 hektar yang mewakili 96.4 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di negeri ini.
“Sepanjang tahun 2023, kerajaan negeri telah mewartakan seluas 4,655.55 hektar Hutan Simpanan Kekal baru yang melibatkan 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut.
“Tambahan keluasan ini juga mengekalkan status Perak sebagai negeri yang mempunyai Hutan Simpan Kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 47 peratus,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan hutan paya laut di Tanah Kerajaan Mukim Kuala Kurau dengan keluasan 880 ekar atau kira-kira 356.12 hektar untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang baru.
“Malah, kerajaan negeri memperuntukkan RM66.3 juta tahun ini bagi meneguhkan agenda Kelestarian Alam Sekitar, sejajar dengan Fokus Keempat Pelan Perak Sejahtera 2030. Daripada jumlah itu, 81 peratus atau sebanyak RM53.9 juta telah diagihkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi berkata, buat pertama kalinya, kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024 menyediakan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi membantu meringankan beban kerugian ditanggung rakyat akibat kerosakan harta benda atau tanaman disebabkan oleh gangguan hidupan liar.
“Inisiatif baru iaitu Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) telah mula dilaksanakan pada bulan Mac tahun ini bagi menangani permasalahan konflik hidupan liar seperti gajah dan harimau.
“BKHT merupakan bantuan yang diberikan secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










