PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pihak bertanggungjawab menjelaskan kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini masih dalam pembinaan.
“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan.
“Dan pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan. Mengapa ia dirobohkan? saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.
Terdahulu, majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan oleh Sultan Ibrahim
pada Mei 2018.
Kolam selam tempur merupakan kemudahan yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan khususnya dalam menangani ancaman daripada domain maritim.
Seri Paduka turut menitahkan papan tanda terbabit dipasang semula di tapak projek pembinaan. – UTUSAN











