KEMAMAN: Seorang sukarelawan pegawai penguat kuasa syariah di negeri ini didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang gadis, Jumaat lalu.
Tertuduh, Shahar Rudin Abd. Rashid, 53, mengangguk faham dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, Shahar Rudin didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 25 tahun dengan cara memeluk bahagian pinggang bagi maksud mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada Jumaat lalu pada pukul 7 petang di Pantai Teluk Mak Nik di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun makskma atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sharifah Amirda Shasha kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mendekati dan menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ahnaf Zaimi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sukarelawan penguatkuasa syariah itu ditahan polis selepas seorang pembantu akaun membuat laporan polis mendakwa dicabul kehormatan oleh lelaki itu. – UTUSAN










