HULU SELANGOR: ‘Serangan’ pembangkang terutama mengenai isu sekolah vernakular tidak menjejaskan tumpuan dan kempen calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao yang berazam membawa budaya politik baharu.
Sock Tao berkata, beliau hanya mahu fokus terhadap perjalanan kempen PRK itu dan enggan menggulas isu peribadi orang lain terutama pencabar-pencabarnya.
Katanya, beliau ingin membawa politik baharu dalam landskap negara dan tidak mengamalkan budaya politik yang tidak matang.
“Hati saya tidak terganggu oleh serangan-serangan politik sebab saya rasa sebagai anak muda, untuk berkempen, bertanding saya ingin membawa politik baharu.
“Saya rasa itu (serangan peribadi) tidak relevan kepada warga Kuala Kubu Baharu kerana mereka mahukan seseorang yang boleh membantu dan berkhidmat dengan hati yang ikhlas. (Saya mempunyai) iltizam yang tinggi (jadi) saya yakin saya mampu dan boleh membuat (yang terbaik).
“Kita perlu mengamalkan politik matang, saya harap pencabar-pencabar boleh berkempen secara berhemah. Saya sendiri pun tidak mahu ulas isu peribadi orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita ketika berkempen di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, di sini.
Yang hadir sama membantu beliau berkempen adalah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wayne Ong Chun Wei.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoal kredibiliti Sock Tao yang tidak bersekolah di sekolah kebangsaan dan tidak mempunyai pengalaman bekerja di dalam sektor awam.
Malah, beliau turut mendakwa pemimpin dan penyokong PH cepat ‘koyak’ serta mudah melenting.
Dalam pada itu, Sock Tao berkata, sebagai calon baharu dan ‘orang luar’ daripada Kuala Kubu Baharu tidak menjadi masalah untuknya mendekati rakyat.
“Ada yang tanya soalan (saya orang luar, macam mana nak tolong sekiranya menang PRK nanti). Jawapan saya, saya akan bekerja keras dan memberi perkhidmatan terbaik.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya. – UTUSAN










