Sock Tao pindah ke Kuala Kubu Baharu

Sock Tao pindah ke Kuala Kubu Baharu

SOCK Tao (dua dari kiri) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Tun Razak, Kuala Kubu Baharu, di sini - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Pang Sock Tao berpindah ke Kuala Kubu Baharu untuk mendekati rakyat di sini dan lebih mudah untuk dihubungi.
Sock Tao berkata, beliau sudah berpindah ke Kuala Kubu Baharu sejak sebelum kempen PRK berlangsung.

“Saya akan tinggal di sini untuk (lebih) memahami masalah (yang dihadapi oleh penduduk Kuala Kubu Baharu) dan berkhidmat serta berbakti kepada warga di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Orang Asli di Kampung Tun Razak, di sini.

Terdahulu, terdapat pihak yang mempertikaikan PH meletakkan calon bukan daripada anak tempatan seperti mana calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang berasal daripada Kuala Kubu Baharu.

Dalam pada itu, Sock Tao berkata, dirinya akan menjamin kesejahteraan semua penduduk Kuala Kubu Baharu sekiranya diberi peluang untuk meneruskan khidmat penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, mendiang Lee Kee Hiong.

“Kalau saya menang saya ingin menjamin kesejahteraan rakyat tidak mengira agama, bangsa dan latar belakang, ini termasuk dengan masyarakat Orang Asli di sini.

“Sebagai calon Kerajaan Perpaduan saya akan menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperkasakan hak-hak serta kebajikan semua penduduk. Saya akan berjuang untuk mereka,” katanya.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sock Tao, Khairul Azhari, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN