Sisa pepejal KL, Putrajaya, Pahang cecah 54,000 tan metrik

Sisa pepejal KL, Putrajaya, Pahang cecah 54,000 tan metrik

SEBANYAK 54,000 tan metrik sisa pepejal sepanjang 20 hari bulan Ramadan tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kutipan sisa pepejal di tiga kawasan konsesi Alam Flora Sdn. Bhd. iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang mencatatkan peningkatan sebanyak 54,000 tan metrik sepanjang 20 hari bulan Ramadan tahun ini.

Jumlah itu meningkat sebanyak 4,000 tan metrik berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 50,000 tan metrik sisa pepejal.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali berkata, makanan yang tidak dihabiskan dijual di bazar Ramadan merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan sisa pepejal selain plastik dan polistren bungkusan makanan.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan metrik sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa bagi Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dari tahun 2019 hingga 2024, trend peningkatan kutipan sisa pepejal pada bulan Ramadan adalah seperti yang dijangkakan.

Bagaimanapun, kira-kira 66 peratus daripada sisa makanan tersebut boleh dielakkan jika orang ramai tahu cara penyimpanan makanan dengan betul serta pembelian secara berhemah.

Katanya lagi, juadah yang disediakan berkemungkinan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan sehingga akhirnya ia terpaksa dibuang.

“Bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing. Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas dan tin aluminium perlulah diasingkan.

“Ia harus diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas. Ia kemudiannya diletakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa di punca anjuran pihak kerajaan,” katanya.

Alam Flora memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan bersesuaian boleh diambil. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN