Sidang DUN Terengganu dihujani isu royalti - Utusan Malaysia

Sidang DUN Terengganu dihujani isu royalti

SATIFUL BAHARI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini terus dihujani dengan isu berkaitan dakwaan pembayaran royalti minyak atau wang ihsan yang masih tertunggak.

Beberapa Exco yang bangun menjawab soalan-soalan lisan mengaitkan permasalahan yang dikemukakan wakil rakyat itu juga memberi alasan kekangan kewangan yang kini dihadapi kerajaan negeri berpunca daripada kelewatan pembayaran royalti tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata,
kerajaan negeri boleh menaikkan elaun
guru-guru al-Quran yang mengajar di kampung sekiranya kerajaan Pusat membayar penuh royalti minyak.

Menurutnya, pada masa ini, guru-guru al-Quran itu dibayar elaun sebanyak RM300 sebulan dan boleh dinaikkan RM1,000 sebulan sekiranya menerima bayaran royalti tersebut.

“Kerajaan negeri boleh beri (naikkan elaun) sampai RM1,000, tapi harap kerajaan Pusat bagi habis royalti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md. Fauzi (Pas-Sura) mempersoalkan rasional di sebalik pemberian elaun RM300 sebulan yang diterima oleh guru-guru al-Quran yang mengajar di kampung ketika ini.

Beliau berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan memandangkan situasi ekonomi yang semakin mencabar pada masa sekarang.

“Jumlah gaji ini menyebabkan kurangnya permohonan daripada golongan muda untuk menjadi guru al-Quran di kampung,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan menambah peruntukan dalam tabung itu sekiranya kerajaan Pusat membayar wang royalti.

“Jumlah permohonan daripada rakyat memang banyak dan ada beberapa kategori melalui tabung ini seperti sakit kronik dan bantuan perubatan.

“Kerajaan negeri akan menambah peruntukan dalam tabung ini untuk memastikan lebih ramai pesakit dan golongan memerlukan mendapat manfaatnya tanpa mengambil masa menunggu yang panjang,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Zawawi Ismail (Bersatu-Telemong) mengemukakan soalan lisan mengenai masalah yang sering dihadapi rakyat setiap kali membuat permohonan daripada Tabung Darul Iman.

Beliau berkata, banyak aduan diterima daripada rakyat memaklumkan bantuan yang diterima agak lewat dan menjejaskan rawatan kesihatan yang patut diterima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN