Siasat dakwaan berbilion ringgit wang royalti masuk dalam akaun PKR - Razali - Utusan Malaysia

Siasat dakwaan berbilion ringgit wang royalti masuk dalam akaun PKR – Razali

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan terhadap dakwaan berbilion ringgit wang royalti petroleum untuk Kelantan dan Terengganu dimasukkan ke dalam akaun parti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, akaun PKR perlu dibekukan segera sama seperti akaun parti politik lain yang dibekukan, malahan disita kononnya wang yang disyaki daripada hasil haram.

Menurutnya, akaun PKR mungkin ada kaitan dalam soal yang sama dan memerlukan siasatan yang segera, teliti dan diperhalusi.

“Setiap dakwaan perlu diambil kira apatah lagi melibatkan wang royalti petroleum. Andainya benar dakwaan itu, ini satu pengkhianatan besar kepada rakyat, terutama rakyat Terengganu dan Kelantan.

“SPRM mesti segera siasat kerana bimbang sejumlah besar wang sebegini mungkin ada kaitan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan atau hasil daripada aktiviti haram terutama membabitkan akaun parti politik yang memerintah kerajaan sekarang,” katanya dalam Facebook beliau malam ini.

Dilaporkan dakwaan itu dibuat oleh penama ‘Sabrizan Salleh’ yang dimuat naik melalui Facebook Jabatan Netizen Negara (Official) semalam.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya berbilion ringgit wang royalti untuk Kelantan dan Terengganu dimasukkan ke dalam akaun parti itu.

Beliau berkata, akaun parti berkenaan diaudit oleh juruaudit bertauliah dan diterbitkan setiap kali berlangsungnya kongres PKR.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau mengarahkan supaya laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat segera terhadap individu yang menyebarkan dakwaan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN