'Siapa rajin pasti raih rezeki'

‘Siapa rajin pasti raih rezeki’

SEORANG wanita Orang Asli etnik Semai menebang buluh untuk dijual di Kampung Simoi Baru, Ulu Jelai di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: “Sejak dari kecil, saya sudah berdepan kesusahan apabila perlu mencari rezeki dan semua kerja kami lakukan asalkan memperoleh wang demi memastikan keluarga makan.”

Itu pengakuan wanita Orang Asli etnik Semai, Khasmimah, 39, dari Kampung Kuala Kenip, Pos Betau di sini ketika bercakap kepada Utusan Malaysia.

Menurut Khasmimah, sejak remaja dia sudah belajar berdikari masuk ke pinggir atau dalam hutan mencari rezeki bagi memperoleh pendapatan berbelanja makanan keluarga serta kegunaan peribadi seperti pakaian dan peralatan kebersihan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua kerja yang orang lelaki lakukan saya juga boleh buat asalkan dapat wang. Siapa yang rajin, dapat meraih rezeki walaupun tidak seberapa berbanding mereka yang tinggal di bandar.

“Selain mencari tumbuhan herba dan berkebun di sekeliling rumah, saya juga menebang buluh sejak dua tahun lalu untuk dijual kepada pembeli dari luar,” katanya di Pos Betau, di sini kelmarin.

Khasmimah berkata, selepas menguruskan makanan keluarga, dia dan rakannya ke hutan pada pukul 7 pagi untuk menebang buluh.

“Agak sukar meredah hutan dan semak untuk menemukan pokok buluh selain yang terdapat tumbuh di tepi anak sungai berdekatan kampung ini sebelum batangnya ditebang.

“Kesukaran meredah hutan tebal dan kawasan semak serta tumbuhan berduri tidak menjemukan saya kerana sudah dilatih oleh ibu bapa sejak kanak-kanak bagaimana hidup di perkampungan pedalaman dan hutan,” katanya.

Dia berkata, akibat kesukaran mendapatkan buluh, dia hanya mampu menebang hampir 20 batang sehari dan memperoleh pendapatan antara RM10 hingga RM12 hasil jualan tumbuhan berkenaan.

“Hal ini kerana saya terpaksa memikul hampir lebih enam kilometer untuk dibawa pulang ke rumah, sebelum diambil oleh pembeli dari bandar berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini