Dipecat parti bukan syarat hilang keanggotaan Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Dipecat parti bukan syarat hilang keanggotaan Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan

BANGUNAN PARLIMEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keanggotaan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terlucut dengan mudah hanya kerana mereka sudah dipecat daripada parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan dari ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, melucutkan keahlian parti tidak boleh disamakan dengan seseorang yang meninggalkan parti.

Katanya, kedudukan sebagai ahli Parlimen hanya terlucut mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tertinggi negara itu tidak menjadikan pelucutan keahlian parti sebagai satu syarat hilang keanggotaan Parlimen.

“Satu perkara ahli politik perlu faham, menyokong dasar kerajaan itu berbeza dengan meninggalkan parti, begitu juga berbeza dengan menyokong pemimpin parti lain.

“Jika ingin dijadikan sokongan kepada parti masing-masing sebagai mutlak, maka itu boleh mengakibatkan percanggahan dengan sumpah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan,”
katanya di sini semalam.

Bersatu kini dilihat berusaha mengosongkan kerusi tujuh wakil rakyatnya termasuk seorang Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

Pindaan itu berhubung pelucutan serta-merta keanggotaan wakil rakyat Bersatu jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, kerajaan itu pada hakikatnya adalah merangkumi Yang di-Pertuan Agong serta jemaah menteri dan Perdana Menteri termasuk seseorang yang berada dalam jemaah menteri.

Katanya, kerajaan tidak boleh dilihat secara sempit sebagai parti tertentu kerana itu terbukti ahli

Jemaah Menteri boleh dilantik daripada pelbagai parti malah ahli Majlis Parlimen yang tidak berparti, syaratnya ialah ahli Majlis Parlimen sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Kata beliau, secara asasnya peruntukan dalam perlembagaan sebuah pertubuhan atau parti tidak boleh meminda maksud peruntukan undang-undang apatah lagi Perlembagaan Persekutuan mengikut sesuka hati.

Tambah beliau, peruntukan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan hendaklah difahami berlandaskan apa yang dinyatakan secara jelas, dan jika ada kekaburan, mahkamah
akan memberikan penafsiran mengikut kaedah yang ditetapkan.

“Pindaan dalam perlembagaan parti yang bersifat atau untuk memanipulasi maksud peruntukan undang-undang tidak mempunyai kesan kerana jika berlaku percanggahan dengan
Perlembagaan Persekutuan, maka peruntukan itu tidak boleh dikuatkuasakan untuk menggugurkan keanggotaan ahli Majlis Parlimen malah boleh dicabar kerana sifat ketinggian
Perlembagaan Persekutuan.

“Misalnya perkataan ‘meninggalkan’ dan “dilucutkan” mempunyai maksud yang jelas, jika ada kekaburan bagi sesetengah orang, maka hendaklah dirujuk kelaziman maksud yang difahami mengikut linguistik yang betul, prinsip tersebut akan digunakan oleh mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, jika mana-mana parti ingin meminda maksud peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh keanggotaan ahli Parlimen, mereka perlu kembali
kepada proses di Parlimen.

Dalam hal ini, katanya, pindaan perlembagaan parti Bersatu itu jelas sekali dilihat bermotifkan
untuk memberikan implikasi di luar konteks peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN