LUMUT: Semua acara sambutan Hari Ulangtahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadualkan diadakan dalam beberapa hari lagi dibatalkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati ahli keluarga dan waris 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua helikopter pagi tadi.
Menurutnya, ia termasuk majlis perbarisan sempena ulang tahun tersebut di Pangkalan TLDM di sini pada minggu ini serta Hari Terbuka Armada yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Mei ini.
“Kita akan menggantikan acara itu dengan majlis tahlil dan doa selamat yang dijangka diadakan Jumaat ini dengan kehadiran Kapten Yang Dipertua TLDM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya pada sidang media di Stadium TLDM Lumut hari ini.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohamad Ab. Rahman dan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.
Menurutnya, dalam kejadian nahas tersebut, siasatan awal mendapati semua 10 mangsa maut di lokasi kejadian di kawasan kolam renang dan Stadium TLDM di Kompleks Sukan TLDM.
Beliau memaklumkan, seorang anggota tentera yang berada di kawasan kolam renang turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan badan helikopter tersebut.
Jelasnya lagi, semua keluarga mangsa akan dibawa ke sini termasuk yang berada di Kota Kinabalu, Sabah, yang akan diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijangka tiba petang ini.
Terangnya lagi, sebaik selesai bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, jenazah akan diserahkan kepada waris dan keluarga masing-masing untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing. – UTUSAN










