KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor menyasarkan kutipan berjumlah RM8.7 juta bagi tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf di Gaza, Palestin.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya setakat ini mengumpul RM3 juta dalam Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza yang dilancarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bulan lalu.
Jelas beliau, jumlah itu bagaimanapun belum mencukupi kerana memerlukan kira-kira RM5.7 juta lagi daripada sasaran sebenar.
“Justeru, rakyat negeri ini digalakkan menyalurkan sumbangan bagi membantu dana yang diperlukan untuk disalurkan kepada penduduk Gaza.
“Orang ramai terutama umat Islam boleh menyumbang ke Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza dengan melayari portal kerajaan negeri bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan,” katanya pada Perhimpunan Solidariti Universiti Selangor (Unisel) Terhadap Gaza di Kampus Bestari Jaya, hari ini.
Perhimpunan yang disertai lebih 1,000 mahasiswa itu bertujuan menyatakan simpati terhadap serangan Israel ke atas Palestin.
Menurut Borhan, tiga projek pembangunan yang dirancang di Gaza iaitu membina satu blok Apartment Darul Ehsan, Masjid Darul Ehsan dan Menara Tangki Air Darul Ehsan.
“Menariknya projek pembangunan masjid di itu hampir sama dengan seni bina Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam.
“Apabila masjid di Gaza siap kelak, ia secara tidak langsung menunjukkan identiti Selangor,” ujarnya.
Tambah beliau, keluasan tiga projek pembangunan itu bagaimanapun belum dikenal pasti dan kemungkinan ia dibina di kawasan masjid yang musnah akibat serangan tentera Zionis. – UTUSAN










