'Sekolah disaran manfaat pindaan Garis Panduan Lawatan Murid untuk aktiviti luar'

‘Sekolah disaran manfaat pindaan Garis Panduan Lawatan Murid untuk aktiviti luar’

FADHLINA Sidek (depan, kanan) bersama sebahagian daripada pelajar SMK Air Itam ketika mengikuti program Rizab Biosfera UNESCO di Bukit Bendera, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sekolah-sekolah di seluruh negara disaran agar memanfaatkan sepenuhnya pindaan terhadap Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikuatkuasakan sejak pertengahan tahun lepas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pindaan itu dibuat bagi membolehkan lebih banyak program pengajian di luar kelas diadakan.

“Jadi, saya harap selepas ini, sekolah-sekolah ini boleh susun semula aktiviti mereka khususnya ke tapak-tapak warisan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebagai contoh.

“Ia bagi menyemarakkan lagi agenda kita iaitu bagi memastikan mereka (murid dan pelajar) juga mengikuti pengajian (yang seimbang termasuk) di luar kelas,” katanya.

Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Rizab Biosfera UNESCO di Bukit Bendera, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Datuk Cheok Lay Leng; Pengarah Urusan The Habitat Penang Hill, Allen Tan serta sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam, di sini.

FADHLINA Sidek (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama pelajar SMK Air Itam ketika mengikuti program Rizab Biosfera UNESCO di Bukit Bendera, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, dengana adanya pindaan terhadap garis panduan terbabit juga, para guru boleh merancang jadual lawatan yang lebih baik untuk murid atau pelajar mereka.

“Sebelum ini setiap sekolah dalam setahun hanya ada dua kali sahaja (lawatan luar bilik darjah). Tapi, apabila kita buat pindaan tahun lepas, maka, setiap anak murid ada dua kali (lawatan yang sama). Banyak bezanya di situ.

“Kita nak supaya lebih ramai anak kita ikuti pengajian di luar kelas seperti ini agar perspektif, pengalaman serta kemahiran mereka bertambah,” kata beliau.

Tambah Fadlina, selain Pulau Pinang, program seumpama itu juga telah diadakan di Melaka sebelum ini dan akan diteruskan di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN