Segera sedekah simpanan stok beras - Mohamad Sabu - Utusan Malaysia

Segera sedekah simpanan stok beras – Mohamad Sabu

Sedekah beras
MOHAMAD Sabu bergambar dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor dekat Bandar Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Semua pihak sama ada organisasi bukan kerajaan, pemimpin politik atau mana-mana individu digesa segera mengedar stok makanan yang disimpan seperti beras supaya tidak dibiarkan terlalu lama.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata semua pihak termasuk orang awam tidak menyimpan stok beras dalam kuantiti besar bagi mengelak pembaziran bekalan makanan asas itu. 

“Jika ada (lebihan), lebih baik untuk kita segera bersedekah. Mana-mana perkara seumpama itu (menyimpan stok beras) sememangnya tidak boleh.

“Kalau tidak ada apa-apa, elok lah kita berikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor, hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam laman media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Video itu menjadi tumpuan netizen selepas dimuat naik beberapa pengguna yang secara kebetulan menggunakan jalan berkenaan.

Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said memohon maaf berhubung isu itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya selain menyesali perkara yang berlaku.

Beliau mendakwa beras dan barangan dapur itu adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Dalam masa sama, Mohamad turut mengingatkan orang ramai supaya mengelak pembaziran makanan sepanjang musim lebaran ini.

“Ia susulan dapatan konsesi pembersihan Alam Flora menunjukkan bahawa 40 peratus daripada sisa buangan adalah makanan. 

“Sisa-sisa buangan makanan ketika Ramadhan pula boleh mencapai sehingga 12,000 tan sehari. Jadi, kita kena elak pembaziran dan bekalan pun tak akan berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN