SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membayangkan sebuah negara akan menyertai program Autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Perkara itu dimaklumkan Penolong Pengarah Kawalan JIM, Noorul Adzim Ateman ketika ditanya pemberita mengenai usaha penyuraian kesesakan teruk Terminal 1 ketika ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan negara terkini itu dan bilakah pemegang pasportnya akan dapat dimasukkan dalam program berkenaan.
“Perkara ini akan diumumkan kemudian tetapi saya difahamkan dalam masa terdekat,” katanya yang menjangkakan rakyat negara itu sebagai amat berisiko rendah bagi Malaysia.
Autogate pada asalnya untuk pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa sejak 2016 apabila dokumen perjalanan itu muncul sebagai yang pertama di dunia dilengkapi cip biometrik.
Sejumlah 50 ciri keselamatan tambahan dimasukkan menepati piawaian ketat global yang membolehkan warga Malaysia melalui pintu pemeriksaan imigresen dengan lebih pantas.
Setakat ini sudah 10 negara menyertai Autogate meliputi Arab Saudi, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Brunei, Jerman, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura.
Rakyat daripada negara berkenaan hanya perlu mendaftarkan awal tiga hari menerusi Malaysia Digital Arrival Card sebelum tiba dengan pengesahan biometrik dan wajah muka.
“JIM juga merancang agar maksimum masa 25 minit untuk semua pengembara luar melepasi pemeriksaan imigresen sejurus mereka mengambil bagasi di KLIA,” kata Noorl Adzim.
Piawaian itu ujarnya dijangka mengurangkan sehingga 85 peratus kesesakan ketika waktu puncak manakala tempoh urusan perlepasan pula disasarkan paling lama 20 minit sahaja. – UTUSAN










