KUALA PILAH: DAP mengulangi pendirian mereka bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan satu-satunya calon Menteri Besar dari Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Aminuddin merupakan ‘panglima perang’ PH yang akan mengetuai jentera gabungan itu sepanjang kempen PRN berdasarkan rekod mentadbir kerajaan negeri sejak 2018.
Menurutnya, oleh itu seluruh jentera PH perlu memberikan sokongan penuh kepada Aminuddin sebagai pemimpin utama gabungan itu di negeri ini.
“Kita hanya ada seorang panglima perang. Kita hanya ada seorang iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun (Tok Min) sebagai calon Menteri Besar dan poster boy kita.
“Walaupun di peringkat Persekutuan saya seorang menteri, tetapi di Negeri Sembilan bos saya ialah Tok Min.
“Saya pengikut dan akan menyokong beliau sebagai calon Menteri Besar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRN Negeri Sembilan Pakatan Harapan (PH) di Dataran Melang, di sini, malam ini.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan Itu berkata, PH akan memasuki gelanggang PRN dengan membawa rekod pencapaian kerajaan negeri sebagai modal utama kempen.
Katanya, sejak mentadbir Negeri Sembilan pada 2018, kerajaan PH berjaya meningkatkan rizab kerajaan negeri, menarik lebih banyak pelaburan serta memperluaskan pelaksanaan dasar kebajikan untuk rakyat.
Beliau turut mengingatkan seluruh jentera PH supaya bergerak sebagai satu pasukan tanpa mengira parti komponen masing-masing.
“Kita masuk ke gelanggang dengan kempen yang positif, calon Menteri Besar yang jelas dan poster boy yang jelas. Jentera kita mesti bergerak sebagai satu pasukan.
“Kita yakin rakyat Negeri Sembilan mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil, berdaya saing, progresif dan inklusif,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan parti itu tetap menjunjung sistem Raja Berperlembagaan serta menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Oleh itu, beliau turut mengingatkan, agar semua pemimpin, ahli dan petugas parti perlu menjaga tutur kata serta tidak menjadikan sistem adat Negeri Sembilan sebagai bahan jenaka atau gurauan sepanjang tempoh berkempen.
“Jangan berseloroh, jangan berjenaka berkenaan dengan sistem adat di Negeri Sembilan ini. Sesuatu yang saya pun tidak akan terima dan saya pun tidak akan maafkan.
“Kalau mana-mana ahli kita yang tersasul cakap kita mohon maaf kepada Yang di-pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” katanya.-UTUSAN.










