KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim tidak akan mengosongkan kerusi itu kerana berpendapat beliau tidak ‘melompat’ keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Azizi berkata, walaupun pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan, kedudukannya sebagai wakil rakyat masih selamat kerana tindakan menyokong Perdana Menteri dibuat pada 7 November tahun lalu.
“Sehingga hari ini saya masih ahli Bersatu. Sebagai ahli saya kena patuh dengan pindaan dan menghormati peraturan itu.
“Dari segi peraturan saya tidak perlu kosongkan kerusi, saya bukan lompat parti. Jadi kenapa perlu berbuat demikian, lagipun keputusan pindaan itu berkuat kuasa 1 April tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Azizi berkata, beliau enggan melayan desakan supaya berundur dan hanya memberikan respon sekiranya ada surat rasmi berhubung perkara itu daripada Bersatu.
Katanya, ketika ini beliau kekal dengan keputusan menyokong Perdana Menteri sebagaimana yang dibuat pada 7 November lalu.
Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan kelulusan pindaan usul pindaan Perlembagaan Bersatu kerana ia memenuhi kehendak mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata pindaan peruntukan dilaksanakan parti itu juga, dibuat mengikut perlembagaan.
Bersatu sebelum ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Keputusan itu dibuat pada EGM selepas perwakilan Bersatu yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti. – UTUSAN










