MELAKA: Berbekalkan minat yang mendalam terhadap dunia ketenteraan dan perasaan cintakan negara, Leftenan Muda Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang berjaya menamatkan latihan selama 12 minggu untuk bergelar komando.
Pemakaian beret hijau yang menjadi identiti pasukan elit Tentera Darat itu disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, di sini semalam.
Ming Youn, 25, berasal dari Setapak, Kuala Lumpur merupakan antara 69 individu yang diraikan dalam Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando melibatkan sembilan pegawai dan 60 anggota lain-lain pangkat (LLP).
Pemegang ijazah sarjana muda perakaunan itu berkata, dia sebelum ini berkhidmat dalam Rejimen Askar Wataniah sebelum berhasrat mencabar diri untuk menyertai kursus asas komando.
“Sebenarnya saya adalah anggota 515 Askar Wataniah, saya tidak ada pengetahuan pun tentang komando. Mula saya berkhidmat dalam 515 Askar Wataniah di situlah pijak dalam dunia ketenteraan ini.
“Saya dapatlah sikit ilmu, pengalaman dan pengetahuan tentang dunia ketenteraan. Selepas itu saya dikenalkan dengan komando. Jadi saya hendak cabar diri saya untuk masuk komando dan tunjukkan diri saya bahawa walaupun asal saya anggota wataniah, saya pun boleh jadi seorang komando,” katanya.
Dalam pada itu, Adi Ridzwan berkata, beret hijau sebagai imej ‘special forces operators’ yang profesional dan kompeten perlu dijaga sebaiknya kerana ia merupakan maruah dan kebanggaan pasukan.
“Jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara-saudara semua yang telah bertungkus-lumus untuk mendapatkannya.
“Adalah amat malang sekali jika beret hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN










